|
LATAR BELAKANG DAERAH BARAM |

Kubu
Hose
SEJARAH DAERAH BARAM
Dalam tahun
1882, garis sempadan bahagian utara Sarawak telah ditolak ke
utara lagi meliputi kawasan Lembah Baram seluas
25,900 kilometer persegi.Semasa itu
Baram adalah kawasan bahaya kerana sering berlakunya
pertempuran di antara kaum Kayan
yang menetap di situ.Mereka sering menyerang perkampungan di kawasan pantai
dan di sempadan
nagara Brunei.Mereka juga telah mengusir
kaum-kaum lain daripada kawasan yang lebih subur di Lembah
Baram dan mengaku pemilikan ke atas kebanyakan
gua sarang burung yang ada di situ.
Pada tahun 1883 satu
pusat pentadbiran didirikan di Marudi. Pada masa itu ia dikenal sebagai Claudetown,
yang terletak di tepi bukit berhampiran tebing sungai. Di sini Claude de
Crespigny dengan bantuan dua pegawai rendah, satu pasukan askar terdiri
daripada 30 orang dan beberapa polis orang asli mula mentadbir tanah jajahan
baru Baram. Pada awalnya kaum asli memulau pentadbiran ini, di samping
mengancam pihak pemerintah. Beberapa tahun kemudian, kaum Kayan mula menerima
pentadbiran baru itu dan mengiktiraf perintah Rajah. Mereka juga bersetuju
membayar cukai pintu sebanyak dua dollar setahun bagi setiap isi rumah.
Seorang Pegawai Inggeris
bernama Charles Hose kemudiannya ditugaskan sebagai pegawai kadet dengan
Perkhidmatan Awam Sarawak dalam tahun 1884 di Baram. Beliau seorang yang
berkeupayaan dan prihatin, dan selepas beberapa tahun perantisan, beliau
dilantik sebagai Residen Baram dalam tahun 1891. Beliau mendirikan kubu sebagai
langkah untuk mengawal pemberontakan dan mempertahankan pusat pentadbirannya.
Dalam tahun 1904 beliau dipindah ke Sibu sebagai Residen di situ.
Semasa
berkhidmat di Baram, Charles Hose mengelolakan Majlis Pengaman di kubunya pada
April 1899. Beliau juga memperkenalkan perlumbaan perahu atau regatta di Sungai
Baram. Beliau meninggal dunia pada tahun 1929
Sekarang, Kubu Hose merupakan
Mini Muzium yang mempamerkan hasil kraftangan Kaum Ulu di Baram di samping
gambar-gambar sejarah semasa penjajahan zaman Inggeris. Manakala,
pusat pentadbiran Daerah Baram telah ditempatkan di bangunan baru; berhampiran
dengan Kubu Hose.